KUALA LUMPUR- Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp),melancarkan kajian penting mengenai Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital, dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja Malaysia.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada 10 sektor utama — Aeroangkasa, Kimia, Elektrikal & Elektronik, Tenaga & Kuasa, Pembuatan & Perkhidmatan Makanan, Perkhidmatan Perniagaan Global, ICT, Peranti Perubatan, Pembuatan Farmaseutikal, dan Perdagangan Borong & Runcit — yang menyumbang RM933 bilion (60%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023.
TalentCorp dalam kenyataan hari ini berkata, kajian itu akan mengenal pasti 60 pekerjaan baharu muncul, seperti jurutera AI, pakar kelestarian, dan jurutera bio-proses, yang memiliki peranan penting untuk memajukan ekonomi hijau dan digital Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kajian TalentCorp ini mengetengahkan peluang besar bagi pekerja Malaysia ketika AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau mengubah hala tuju industri.
“Dengan mengenal pasti kemahiran kritikal dan peranan baharu muncul, kami mahu memperkasakan rakyat Malaysia supaya dapat menyesuaikan diri dan menjadi peneraju di peringkat global, memacu pertumbuhan mampan dan kekal berdaya tahan dalam tenaga kerja negara,” katanya ketika berucap semasa melancarkan kajian tersebut.
Bagi menyokong peningkatan dan penambahbaikan kemahiran tenaga kerja, Steven turut mengumumkan sokongan oleh kementerian melalui levi, kredit, biasiswa, dan geran padanan menerusi dana berjumlah RM3 bilion.
KESUMA katanya, turut mempertimbang untuk menawarkan insentif untuk kursus yang mendapat permintaan tinggi, seperti biasiswa kemahiran. -MalaysiaGazette