KUALA LUMPUR – Selain memperbetulkan kesilapan dan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, DAP diminta turut melihat sekali kes terowong.
“Jangan lupa tu Nga Kor Ming.
“Saja ingatkan takut lupa,,” kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming yang menggesa ahli-ahli parti itu supaya memperbetulkan kesilapan dan salah laku yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu dan bukannya menjadi sebahagian daripada salah laku itu.
Katanya, ia kerana DAP kini berpeluang menjadi parti pemerintah selepas 58 tahun berjuang.
“Oleh itu, semua ahli parti mesti menghargainya dengan lebih mendalam, serta berusaha untuk terus meningkatkan diri dan memperbaiki kelemahan dalam pentadbiran kerajaan.
“Selama ini, DAP sering diserang oleh UMNO dan MCA, tetapi kita harus berpegang pada prinsip politik yang rasional, memimpin dengan akhlak dan berbicara melalui pencapaian politik, supaya kita mendapat sokongan daripada pengundi tengah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan semalam. – MalaysiaGazette