KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat memuji tindakan terjahan tanpa protokol di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini.
Pengerusi pertubuhan berkenaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan tersebut memperlihatkan keadaan sebenar fasiliti institusi berkenaan, sekali gus membuktikan tahap penyelenggaraannya.
“Semua ini dapat dibongkar kerana terjahan tanpa temu janji sebegini. Jika Pengerusi MARA melalui protokol sebagaimana membuat temu janji, memberitahu akan melakukan lawatan, sudah pasti segala kekurangan ini akan cuba disembunyikan dan tidak ada cela yang terkeluar daripada pengurusan MRSM.
“Terjahan ini memperlihatkan bahawa fasiliti di negara kita masih berada pada tahap kurang memuaskan dari aspek penjagaan dan penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas video yang tular memaparkan terjahan Asyraf Wajdi di MRSM Langkawi tanpa memberikan notis kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
Berdasarkan video tersebut, Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut ke MRSM terbabit untuk mengesahkan beberapa aduan dari netizen mengenai keadaan dewan makan, kualiti fasiliti, dan persekitaran sekolah yang dikhabarkan berada dalam keadaan kurang memuaskan.
Sehubungan Lee mencadangkan terjahan itu perlu dilakukan di semua MRSM.
“Selaku Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat yang mana aspek keselamatan dan kesihatan menjadi objektif utama kami perjuangkan, adalah menyedihkan melihat pelajar-pelajar terpaksa tinggal dalam keadaan fasiliti yang kurang baik seperti tandas pintu yang roboh dan sebagainya.
“Juga mengerikan apabila dilaporkan ada pelajar yang berpotensi boleh keracunan makanan kerana kualiti makanan yang disediakan oleh pihak kantin asrama,” katanya. – MalaysiaGazette