KUALA LUMPUR – Tiada kes positif cacar monyet atau mpox varian clade II baharu dalam negara direkodkan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, negara kini hanya mencatatkan satu kes positif yang direkodkan pada September lalu.
“Tidak ada kes baharu (positif mpox). Kes dahulu satu positif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang di Auditorium Hospital Ampang, Ampang, dekat sini, hari ini.
Negara mencatatkan kes mpox pertama pada 16 September lalu apabila seorang pesakit disahkan positif mpox varian clade II yang dikesan daripada 58 kes disyaki mpox.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pihaknya telah mengambil langkah siap siaga dan menyaring lebih 22.8 juta pengembara yang masuk ke negara ini, namun kesemuanya negatif.
Media antarabangsa hari ini melaporkan kes pertama strain mpox yang lebih teruk di San Mateo County, California, Amerika Syarikat.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, ujian mengesahkan bahawa kes mpox tersebut adalah daripada strain clade I.
Menurut Jabatan Kesihatan Awam California, individu tersebut baru-baru ini telah melakukan perjalanan dari Afrika, di mana terdapat wabak sedang berlaku. – MalaysiaGazette