Gambar Hiasan

JERTIH – Seorang wanita maut manakala lima lagi cedera dalam rempuhan membabitkan dua kereta, salah satunya dipandu seorang lelaki yang kemudiannya didapati positif dadah, di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Beting Lintang di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata, Norra Zafidah Ahmad Zaibidin, 45, penumpang belakang sebuah Honda City, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian 3 petang.

Md Sani berkata, pemandu Perodua Myvi berusia 26 tahun, didapati positif dadah jenis methamphetamine semasa saringan darah awal dijalankan.

“Siasatan awal menunjukkan Honda City yang dipandu bapa saudara mangsa berusia 62 tahun bersama dua lagi penumpang berusia 19 dan 56 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Bachok, Kelantan.

“Apabila tiba di lokasi, Honda City dirempuh Perodua Myvi yang datang dari Kampung Raja yang dilaporkan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu Perodua Myvi itu mengalami kecederaan serius di kepala dan perut serta tidak sedarkan diri.

Seorang penumpang lelaki berusia 20 tahun dan mangsa lain turut cedera dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu hendaklah menghubungi pegawai penyiasat Insp Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here