MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 kes buli siber dilaporkan berlaku secara purata setiap hari sepanjang tahun ini setakat 1 November lalu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, angka itu berdasarkan keseluruhan sebanyak 8,339 kes laporan buli siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempoh tersebut.

Jelasnya, bagi laporan berkenaan material yang menjurus kepada kesalahan seksual kanak-kanak di media sosial pula, sebanyak 815 kes diterima SKMM tahun ini setakat 1 November lalu.

Ujarnya, jumlah itu bertambah berbanding hanya 525 laporan berkenaan kesalahan melibatkan seksual kanak-kanak di media sosial yang dilaporkan kepada SKMM sepanjang tahun lalu.

“Dalam platform Facebook sepanjang tahun lalu misalnya, jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian yang dilaporkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial adalah sebanyak RM432 juta.

“Ini adalah realiti yang kita sedang hadapi hari ini,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi (PH-Lembah Pantai) menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada dasar pelesenan media sosial bermula Januari tahun depan tidak akan menjejaskan peluang dan kebebasan rakyat negara ini mendapat akses luas kepada kehidupan moden yang banyak bergantung kepada teknologi digital.

Sementara itu, kepada soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Fahmi berkata, kerajaan buat masa ini tidak berhasrat menutup platform media sosial yang gagal mendapatkan lesen Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] seperti disyaratkan.

Bagaimanapun, ujar beliau, berpandukan kepada kuasa dan akta sedia ada, kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap platform media sosial yang ingkar terbabit termasuk dikenakan kompaun sehingga RM250,000.

Sekiranya didakwa dan didapati bersalah di mahkamah pula, katanya, pengendali platform itu boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun selain denda RM1,000 sehari bagi setiap hari beroerpasi tanpa lesen.

Bagaimanapun, kata Fahmi, penguatkuasaan kerangka pelesenan media sosial itu tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Ini kerana, jelasnya, kerangka pelesenan itu hanya dikenakan kepada penyedia perkhidmatan yang diwajibkan untuk mendapatkan lesen yang berkaitan daripada SKMM.

“Pengguna media sosial di negara ini akan terus dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat.

“Niat kerajaan hari ini bukan hanya untuk memastikan internet yang lebih murah, lebih laju dan lebih meluas, tetapi paling penting lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, SKMM mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari 2025.

Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here