Ayob Khan Mydin Pitchay

KUANTAN – Seramai 6,646 pegawai kanan dan rendah polis telah dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak 2020 hingga September lepas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, antara hukuman dikenakan ialah buang kerja melibatkan 613 individu, turun pangkat (120), turun gaji (68), lucut hak emolumen (641) dan tangguh pergerakan gaji sebanyak 152 orang.

Antara kesalahan yang dilakukan katanya merangkumi aspek integriti, jenayah, rasuah, dadah dan syariah.

“Kalau ada maklumat penglibatan polis sama ada anggota atau pegawai berkenaan salah laku di mana pun boleh berhubung dan salurkan maklumat kepada saya.

“Saya akan susulkan dengan tindakan dan pastikan identiti anda (pemberi maklumat) dilindungi,” katanya ketika menyampaikan ceramah Pembudayaan Integriti Dalam Kalangan Penjawat Awam Sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Majlis Bandaraya Kuantan 2024 di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Ayob Khan berkata dalam memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan sang saka biru itu tindakan tegas harus diambil terhadap polis yang terlibat dalam kegiatan salah laku tanpa mengira pangkat.

Menurut beliau sekiranya langkah berkenaan gagal dilaksanakan, kepercayaan masyarakat dan rasa hormat terhadap polis akan terhakis.

“Paling penting sebab itu selalu saya tekankan kita ambil tindakan jangan kira pangkat dan kedudukan…sebagai pemimpin pula jangan hanya nak popular dan takut nak ambil tindakan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here