Ikmal (kanan belakang) dan Nurul Aisyah (depan) bersama-sama adik beradiknya yang lain di rumah datuk mereka di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, hari ini

PASIR GUDANG – Anak bongsu daripada lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dilanggar pemandu mabuk pada Sabtu lalu masih merindui kedua ibu bapanya.

Malah Nur Aisyah Humairah Mohd. Ridzwan sering teringat ibunya ketika waktu makan.

Anak kedua pasangan tersebut, Muhammad Ikmal Danish, 15, berkata, adiknya berusia tiga tahun itu akan memanggil dan mencari ibunya sebelum menangis teresak-esak.

Katanya, keadaan itu membuatkan mereka sekeluarga tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata memandangkan Aisyah masih kecil dan tidak mengerti apa yang berlaku.

“Ada masanya sukar untuk mententeramkan adik saya kerana dia cukup rapat dengan arwah ibu. Sekali kali disuap bubur, Aisyah akan panggil emak. Selepas saya pujuk dan jelaskan emak sudah tiada, Aisyah akan menangis.

“Begitu juga ketika hendak tidurkannya, Aisyah kerap mencari emak, puas saya dan nenek cuba memujuknya supaya dia tenteram,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Cendana di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ikmal, kakaknya, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, dan adik Nur Shahkira, 14, serta Nur Shahmira, 12, juga sering teringatkan ibu bapa mereka namun mereka cuba kini sudah dapat menerima apa yang berlaku.

Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd. Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Mesjid di sini, kira-kira pukul 4 pagi.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.

Kesemua mereka kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, iaitu Ramlah Kasiran, 56, dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 yang bekerja sebagai pemandu forklift akan mengambil tanggungjawab menjaga semua cucunya itu.

Dalam pada itu, Muhammad Ikmal memberitahu, dia mahu melanjutkan pengajian dalan aliran teknik dan vokasional (TVET) kerana minat dalam kursus penghawa dingin.

“Sebagai satu-satunya anak lelaki daripada lima beradik, saya mahu tolong nenek jaga kakak dan adik-adik yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suami isteri maut dirempuh pemandu mabuk di lampu isyarat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here