KUALA LUMPUR – Isu banduan terhormat yang dibangkitkan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menjadi perdebatan hangat hingga menimbulkan ketegangan pada sesi petang di Dewan Rakyat hari ini.
Rosol membangkitkan perkara itu dipercayai merujuk kepada satu video yang tular mengenai ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika mencelah Perbahasan Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).
“Berkaitan dengan penjara ini saya terdengar satu video mengatakan bahawa, saya banduan terhormat. Persoalan saya adakah perkataan banduan terhormat ada dalam Kamus Dewan?
“Yang kedua dikatakan pemenjaraan beliau adalah kerana konspirasi. Adakah itu satu tuduhan yang berat kepada pihak judgement…adakah Perdana Menteri terlepas daripada undang-undang,” katanya.
Selepas itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bingkas dari tempat duduknya sambil berkata, persoalan yang dibangkitkan oleh Rosol itu tiada kena mengena dengan apa yang sedang dibahaskan.
Tan Sri Johari Abdul yang mempengerusikan mesyuarat bagaimanapun menyerahkan apa yang dipersoalkan Rosol itu kepada pandangan umum yang sedang menyaksikan perbahasan tersebut.
Mas Ermieyati menghargai pandangan yang diberikan oleh Johari dan menuding kepada Rayer yang sebelum ini sering mencelah dalam apa jua perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Situasi yang hingar bingar itu akhirnya menjadi reda setelah Johari menyarankan agar perkara yang dibangkitkan itu ditanya terus kepada Perdana Menteri yang akan hadir bagi menjawab soalan pada Khamis ini untuk mendapatkan jawapannya.
Rayer kemudian mencabar kedua-dua ahli Parlimen pembangkang itu untuk bertanya secara terus kepada Perdana Menteri sekiranya mereka berani. – MalaysiaGazette