KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa menyunting video temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di CNN baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari membuat gesaan itu setelah tiada tindakan dibuat oleh kerajaan berhubung dakwaan tindakan tidak bertanggungjawab itu terhadap kepimpinan negara.
“Mereka kata video PMX kata yes untuk soalan right to exist itu telah diedit, tapi sampai sekarang tiada tindakan kepada pihak yang edit? Kenapa tak buat tindakan?” soal Ahmad Fadhli hari ini.
Ketua Penerangan Pas itu mengulas kenyataan Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil yang mengatakan video temubual Anwar bersama bersama Richard Quest daripada CNN disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel dan berniat untuk mengelirukan orang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.
Video tular tersebut serta beberapa portal mendakwa, Anwar mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan untuk ‘mempertahankan diri’ dalam wawancara tesebut.
Media sebelum ini melaporkan pemimpin pembangkang dan aktivis pro-Palestin melahirkan rasa terkejut dan kesal terhadap pendirian Anwar yang didakwa menerima hak Israel untuk wujud dan untuk mempertahankan diri – dua tuntutan yang sering dibuat terhadap pemimpin Islam oleh kerajaan Barat – yang menyokong rejim zionis itu. – MalaysiaGazette