PASIR GUDANG – Keluarga pasangan suami isteri yang maut dirempuh pemandu mabuk akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan keadilan.
Ibu mangsa, Ramlah Kasiran, 56, berkata, tindakan itu akan menjadi pengajaran dan pada masa dalam membela nasib lima cucunya yang sekelip mata menjadi yatim piatu.
Ramlah berkata, keluarganya trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan menantunya, Linda Mohd A Aziz, 35, akibat kesalahan orang lain.
“Saya reda dengan ketetapan dan ketentuan Allah SWT, tetapi tindakan undang-undang terhadap pelaku mesti dikenakan.
“Banyak kisah pemandu mabuk hanya didenda yang mana jumlah itu tidak setimpal dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan tanpa apa-apa seperti cucu-cucu saya.
“Insya-Allah peguam yang menguruskan kes kemalangan anak keenam saya akan ziarah kami dan berbincang tentang hal ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Cendana, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Pasar Raya Econsave disampaikan Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam.
Dalam kejadian pukul 4 pagi Sabtu lalu, pasangan terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.
Mohd Ridzwan yang bekerja sebagai pemandu lori SWM manakala Linda yang bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.
Mengulas lanjut, Ramlah berkata, sekiranya ditakdirkan kemenangan berpihak kepadanya, wang tersebut boleh digunakan untuk menyara lima cucunya pada masa akan datang.
Katanya, anak-anak yang lain membantu sekadar yang ada kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan.
“Arwah anak dan menantu meninggalkan lima anak mereka, perjalanan hidup mereka masih panjang. Mak cik doa supaya Allah SWT panjangkan usia mak cik dan pak cik untuk menyara mereka semua sehingga boleh berdikari sendiri.
“Mak cik takut kalau mak cik ‘pergi’ dulu, mereka tiada simpanan dan tiada kewangan. Mak cik tidak bekerja, hanya pak cik yang bekerja sebagai pemandu ‘forklift’ di sebuah pasar raya.
“Alhamdulillah, dari kelmarin tidak putus-putus orang datang ziarah mak cik dan cucu-cucu, ada perseorangan, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat, pihak sekolah cucu juga ada ziarah dan hulurkan sumbangan. Hanya Allah yang mampu membalas budi mereka,” katanya.
Pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga katanya, ada ziarah dan membawa borang bantuan untuk cucu-cucunya.
Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan tersebut berupa beras, minyak masak, gula, susu, pampers dan semua barang keperluan harian bernilai RM1,000.
“Sumbangan ini bagi meringankan beban keluarga mangsa terutama anak-anak pasangan ini yang menjadi yatim piatu,” katanya.- MalaysiaGazette