Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh, berucap ketika majlis pelancaran kempen Jom Kosong Tealive di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Kempen Jom Kosong menyalurkan 20 sen bagi setiap cawan yang dijual oleh jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, Tealive, akan disalurkan ke Tabung Bantuan Makan Sekolah Tealive.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu bukan sahaja menyokong gaya hidup sihat tetapi juga memberi manfaat besar kepada masyarakat.

“Sumbangan daripada penjimatan tanpa gula 20 sen akan disumbangkan kepada tabung makan sekolah dan ini adalah satu usaha yang amat baik kerana kita boleh katakan ada kebaikan berganda. 

“Kita ajak orang hidup sihat, ada penjimatan dan kita menyumbang pula dalam membantu pelajar-pelajar yang memerlukan,” katanya pada majlis pelancaran kempen Jom Kosong Tealive di Putrajaya, hari ini.

Selain itu beliau turut menekankan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) dalam menggalakkan budaya dan gaya hidup baharu masyarakat Malaysia melalui amalan pengurangan pengambilan gula dalam minuman atau makanan mereka.

“Ada beberapa model yang menyokong inisiatif ini, yang pertama, di mana kalau pelanggan nak gula, tambah 20 sen.  Ada juga yang tak nak gula, diskaun 20 sen. 

“Jadi itu beberapa model yang menyumbang kepada tabung makanan berkenaan,” katanya.

Selain itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, berkata pelanggan Tealive sentiasa diberi kebebasan untuk menyesuaikan minuman mereka mengikut citarasa masing-masing, termasuk memilih tahap gula dan ais yang diinginkan.

“Tealive komited dalam menyokong inisiatif Kementerian ini, dan kami percaya usaha untuk mengajak pelanggan bersama-sama mengumpul dana bagi menyediakan hidangan sekolah ini merupakan satu langkah yang amat bermakna.

“Kami berharap pelanggan akan menyokong inisiatif ini, terutama apabila mengetahui bahawa sumbangan 20 sen dari setiap cawan minuman akan digunakan untuk menyediakan hidangan berkhasiat bagi kanak-kanak daripada keluarga B40,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, sumbangan yang diperoleh akan disalurkan secara terus kepada Yayasan Didik Negara (YDN), yang mengendalikan program makanan sekolah. 

“Kami maklum bahawa dana sebanyak RM3.5 juta diperlukan untuk membiayai sejuta hidangan.

“Kami yakin bahawa sasaran ini dapat dicapai dalam tempoh satu tahun, bergantung kepada sokongan pelanggan terhadap kempen ini,” ujarnya.

Kempen Jom Kosong yang dilaksanakan KPDN September lalu bertujuan mempromosikan pilihan minuman tanpa gula sebagai langkah mencegah penyakit yang berkaitan dengan pengambilan gula berlebihan, seperti diabetes dan obesiti, yang semakin meningkat di negara ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast