KUALA LUMPUR – Kenyataan seorang pemimpin DAP yang mengatakan sayap parti itu “layak menerima zakat” boleh mencetuskan kekeliruan dan perdebatan.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Biro Penerangan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor mendesak agar semua pihak terutamanya orang bukan Islam untuk menghormati orang Islam dan bangsa Melayu.
“Perkasa ingin persoalkan kepada YB nga kor ming, apakah ini salah satu penghinaan kepada orang Islam?
“Ayat layak mendapat zakat adalah ayat yang selalu di gunakan untuk orang Islam dan juga golongan yang layak untuk mendapatkan zakat. Tapi apa kena mengena dengan sayap parti DAP untuk menerima zakat??
“Ini ayat yang mengelirukan. Perkasa juga ingin bertanya apakah maksud yang tersirat dan tersirat yang ingin di sampaikan melalui ayat zakat ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi, kenyataan-kenyataan yang dilihat mempermainkan sensitiviti orang Islam bukanlah kali pertama berlaku sedangkan Islam dan Melayu merupakan penduduk majoriti di negara ini.
“Kenapa ada kenyataan yang seolah-olah mempermainkan sensitiviti Islam? Dahulu pertikaikan sijil halal, sekarang bercakap soal zakat. Apakah tujuan di sebalik kenyataan seperti ini?.
“Walaupun orang Melayu sering diam apabila dihina, kesabaran kami ada hadnya,” katanya.
Dalam pada itu, Perkasa menuntut agar semua pihak menghormati kedudukan bangsa Melayu kerana merupakan asas penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Pertubuhan itu turut menegaskan bahawa sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum perlu dielakkan demi memastikan perpaduan dan kestabilan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette