PASIR GUDANG – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes pemandu kereta bawah pengaruh alkohol yang merempuh motosikal dinaiki pasangan suami isteri hingga maut pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, selepas semua selesai, ia akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.
Pada masa ini, katanya, lelaki berkenaan sudah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Jaminan diberikan berikutan suspek mengalami kecederaan di kepala dan kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
“Polis menahan suspek sejurus tiba di lokasi kemalangan untuk pemeriksaan dan ujian sewajarnya. Disebabkan kecederaan di kepala yang dialami, suspek diberi jaminan polis untuk rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi.
Pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Honda Vario dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu suspek di Simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini pukul 4 pagi.
Mohd Sohaimi dilaporkan berkata, pemandu kereta Perodua Alza berkenaan dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.
Namun hasil ujian air kencing dilakukan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah.
Kes disiasat dibawah Sekysen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (Orang Kurang Upaya), Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3, menjadi yatim piatu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: