Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Haji Azman Haji Adnan bercakap pada Temu Bual Khas berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) dan Intervasi Menangani Keciciran Murid Sekolah Menengah di Kompleks E, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Sebanyak 119 kelas pra sekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diwujudkan sepanjang tahun lalu.

Ia dicatatkan dalam Laporan Tahunan 2023 bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 (PPPM) yang diusahakan kementerian itu dalam meningkatkan enrolmen murid.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, peluasan prasekolah dilaksanakan berdasarkan keperluan masyarakat setempat selain kapasiti sekolah serta peruntukan kewangan yang diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Secara keseluruhan, enrolmen murid prasekolah untuk kanak-kanak berumur 5 tahun telah menunjukkan trend peningkatan daripada 83.65 peratus pada tahun 2021 kepada 90.67 peratus pada 2023,” katanya menerusi sidang akhbar di pejabatnya pada Isnin.

Katanya, peratusan enrolmen murid bagi kohort umur empat tahun ke atas turut menyaksikan peningkatan daripada 68.45 kepada 77.95 peratus bagi tempoh sama.

“KPM sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan enrolmen murid daripada prasekolah sehingga menengah atas,” jelas Azman.

Menurutnya, KPM sepanjang tahun 2024 turut melaksanakan peluasan prasekolah di institusi kementerian selain sekolah rendah di bawahnya.

Bagi meningkat kualiti prasekolah, kementerian melaksanakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam, agensi awam dan swasta melibatkan latihan guru serta pembantu pengurusan murid secara berkala.

“Ia merangkumi lima kelas prasekolah di sekolah menengah, enam beroperasi di kolej vokasional manakala 25 lagi di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama katanya lagi, Penarafan Kendiri Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (PK-SKPK) 2.0 dilaksanakan secara dalam talian kepada semua institusi yang menawarkan pendidikan prasekolah.

“Sebanyak lima kualiti yang terkandung dalam PK-SKPK 2.0 itu antaranya adalah dimensi kualiti guru dan pembantu guru serta pembantu pengurusan murid (PPM), kualiti tadbir urus, kurikulum, penglibatan dan kesihatan,” katanya.

Mengulas mengenai kelayakan akademik minimum guru prasekolah yang memiliki diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK), Azman berkata, ia telah berjaya mencapai 100 peratus pada tahun lalu.

“Kesemua 9,817 guru prasekolah KPM memiliki kelayakan akademik minimum DPAKK,” ujar beliau.

KECICIRAN MURID

Dalam laporan itu, KPM dalam usaha menangani masalah keciciran telah berjaya mengembalikan 1,269 murid sekolah rendah dan 2,006 murid sekolah menengah ke dalam sistem pendidikan.

Azman berkata ia dijayakan menerusi Program Outreach Murid yang mula dilaksanakan pada tahun lalu.

Konsisten dengan usaha itu KPM tambahnya, telah membangunkan sistem pengesanan murid sejak Mac lalu yang digunakan sebagai data untuk intervensi murid yang berisiko tercicir.

“Tetapi masih dalam penyediaan Garis Panduan sebelum diedarkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.

Data murid cicir akan digunakan oleh pihak KPM menjalankan outreach berfokus bagi mengembalikan murid cicir kembali semula ke sekolah,” ujarnya. KPM juga memperluaskan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 kepada K11 yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 terutama dalam kalangan komuniti orang asli dan peribumi.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Haji Azman Haji Adnan bercakap pada Temu Bual Khas berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) dan Intervasi Menangani Keciciran Murid Sekolah Menengah di Kompleks E, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2024.

“KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang yang sekarang dikenali sebagai SMK RPS Betau khas bagi murid Orang Asli di kawasan tersebut.

Di samping itu, program rintis ini juga dilaksanakan di SK Long Bedian, Baram, Sarawak.

Sementara itu, Azman berkata, Dasar Pendidikan Wajib berkuat kuasa pada tahun 2003 turut menyumbang kepada peningkatan penyertaan murid ke sekolah.

“Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] memperuntukkan setiap ibu bapa yang merupakan warga Malaysia yang tinggal di negara ini perlu memastikan anak-anaknya berumur 6 tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa, didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah dalam tahun tersebut dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan wajib iaitu sehingga tahun 6.

“Pada tahun 2003, kadar penyertaan murid sekolah rendah ialah 92.90 peratus berbanding tahun 2023 yang menunjukkan peningkatan kepada 99.11 peratus,” katanya.

TRANSFORMASI PENDIDIKAN

Bagi memastikan kerajaan berjaya menyediakan Pendidikan berkualiti untuk semua seiring membina Malaysia yang Madani menjelang 2035, KPM dalam masa yang sama melaksanakan reformasi pendidikan.

Azman berkata, sebanyak enam jawatankuasa difokuskan menerusinya iaitu Jawatankuasa 6 Pasukan Petugas Khas, jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital dan penyelarasan prasekolah.

Beliau berkata, dalam reformasi berkaitan dasarnya adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diberi keutamaan oleh KPM adalah membangunkan murid secara menyeluruh dari segi jasmani, rohani dan intelektual.

“Kita susun dan selaraskan fokus enam kluster jawatankuasa itu dengan pelbagai dasar termasuk PPPM 2013-2025. Jawatankuasa ini telahpun bergerak seawal Mac lalu untuk melihat keperluan mendatang bagi kita menambah baik semua fokus kita sebutkan,” katanya.

Jelasnya, setiap jawatankuasa yang digerakkan akan menjadi sebahagian daripada Agenda Reformasi Pendidikan yang dilaksanakan dalam masa yang sama akan digunakan dalam PPPM baharu kelak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast