KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Perdana Menteri ke Brazil berpotensi menjana eksport sebanyak RM6.8 bilion bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Ini menunjukkan peluang perdagangan yang besar, khususnya dalam sektor-sektor bernilai tinggi yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Brazil dari 16 hingga 19 November.
Potensi eksport tersebut diraih melalui sebuah Mesyuarat Meja Bulat yang dianjurkan oleh MITI dengan Pemimpin Industri Brazil.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh 58 pemimpin industri dan perniagaan dari 28 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Brazil dianjurkan bersempena dengan penyertaan Perdana Menteri di Persidangan G20 yang berlangsung di Rio de Janeiro dari 18 hingga 20 November 2024.
Mesyuarat Meja Bulat tersebut turut dihadiri oleh 48 wakil dari 19 syarikat, agensi dan persatuan industri dari Malaysia, merangkumi pelbagai industri dan sektor perkhidmatan bernilai tinggi termasuk minyak & gas, aeroangkasa, peranti perubatan & penjagaan kesihatan, semikonduktor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perkhidmatan R&D Industri 4.0, kimia, perlombongan, industri halal, dan minyak sayuran & lemak masak.
MITI juga telah menganjurkan mesyuarat bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala di antara Malaysia dan Brazil, khususnya dalam industri semikonduktor, lanjutan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri dan Presiden Brazil untuk menjalin kerjasama dalam industri ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar turut dihadiri oleh MIMOS Berhad, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil, Persatuan Industri Semikonduktor Brazil dan Institut Eldorado Brazil. Mesyuarat tersebut telah menggariskan kepentingan untuk meningkatkan kerjasama dalam rekaan, pembuatan dan pembangunan bakat dalam industri semikonduktor.
Dua Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan kerjasama dalam industri semikonduktor telah turut dimeterai, masing-masing di antara MIMOS Berhad dan Institut Eldorado Brazil; serta di antara Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persatuan Industri Elektrik dan Elektronik Brazil dan Persatuan Industri Semikonduktor Brazil.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil bagi tempoh Januari hingga September 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8% kepada RM14.83 billion (AS$3.2 bilion), berbanding RM12.38 bilion (AS$2.74 billion) bagi tempoh yang sama pada 2023.
Tahun lepas, Brazil merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Amerika Latin.
Sebanyak RM8.64 billion (AS$2.73 billion) pelaburan dari Brazil telah direkodkan merangkumi sektor pembuatan makanan, produk getah, peralatan pengangkutan dan hab pengedaran global.
Syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas, Yinson dan Sapura turut melabur di Brazil dalam sektor tenaga dan minyak & gas dengan jumlah pelaburan melebihi AS$15 billion.
MITI yakin hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Brazil akan terus berkembang, mengambil kira peluang-peluang yang ditawarkan melalui NIMP 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS). – MalaysiaGazette