ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas didapati menyerang dan memukul dua anggota polis sehingga seorang daripadanya cedera.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku di sebuah surah berdekatan Kangkar Pulai di sini kira-kira pukul 1 petang semalam.
“Kejadian berlaku semasa dua anggota polis berusia 33 hingga 59 tahun dari Balai Polis Kangkar Pulai ingin menunaikan solat zohor bersama-sama ahli kariah di surau berkenaan.
“Dua anggota polis yang berpakaian seragam ketika kejadian itu kemudian diserang dan dipukul oleh suspek yang berusia 28 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, anggota polis itu yang berusia 59 tahun cedera dengan luka di bahagian muka, kaki serta tangan kanan.
Suspek katanya, kemudian berjaya ditangkap oleh kedua-dua anggota polis berkenaan.
“Tiada sebarang senjata digunakan ketika kejadian,” katanya.
Menurut Kumarasan, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan dadah.
Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek negatif dadah.
“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri di sebuah hospital di Johor Bahru,” ujarnya.
Suspek kini katanya, ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Kumarasan turut mengingatkan bahawa kes masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti motif serangan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan.- MalaysiaGazette