Polis menahan lima warga negara asing bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga seorang lelaki Myanmar mati di bilik asrama sebuah kilang di Bakri, Muar.- Gambar hiasan.

MUAR – Polis menahan lima warga negara asing bagi membantu siasatan kes pergaduhan sehingga seorang lelaki Myanmar mati di bilik asrama sebuah kilang di Bakri, di sini, Selasa lalu.

Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mereka ditahan di dua lokasi berbeza di sebuah taman perumahan di sekitar bandar ini pukul 8.39 malam pada 15 November lalu.

“Mereka yang ditahan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita Myanmar serta seorang wanita Indonesia berusia 26 hingga 48 tahun.

“Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan melibatkan 11 warga asing yang melibatkan satu kematian, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semua suspek tersebut merupakan tangkapan kedua dan mereka mengaku terlibat dalam pergaduhan berkenaan.

Tambah beliau, semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pada masa sama katanya, polis turut merampas tiga telefon bimbit dan beberapa helai pakaian milik kesemua suspek bagi membantu siasatan.

Dalam pergaduhan pada pukul 10.30 malam itu, seorang lelaki Myanmar berkenaan dilaporkan cedera parah dan kemudiannya meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF).

Sejurus itu tangkapan pertama dilakukan melibatkan empat lelaki Myanmar berusia 24 hingga 35 tahun dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here