KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terlalu bergantung kepada pendapatan dan prestasi Boustead Holdings hingga menyebabkan pendedahan lembaga itu berlebihan kepada syarikat ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang membentangkan Laporan LTAT di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) selepas isu ini dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.
Lantaran itu, perkara ini perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera oleh semua pihak berkepentingan terutamanya Kementerian Pertahanan (Mindef) dan LTAT.
Menurut beliau, aliran tunai yang kritikal dan pebagai krisis kewangan yang melanda Boustead Holdings dan anak-anak syarikatnya meningkatkan risiko penyusutan nilai yang melibatkan sehingga 50% daripada nilai tabung, iaitu hampir RM5 bilion dana tabung persaraan yang diuruskan oleh LTAT.
“Penyusutan nilai ini akan tidak hanya menyebabkan LTAT tidak berkemampuan untuk membayar dividen kepada pencarum namun, boleh menyebabkan LTAT kehilangan serta kerugian dana RM5 bilion tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PAC berpendapat, pelan penstrukturan semula Boustead Holdings yang dilancarkan pada Julai 2023 sebagai inisiatif utama dalam Pelan Strategik LTAT 2023-2025 adalah satu pelan yang praktikal.
Pelan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset-aset yang berkualiti lain.
Pelan tersebut turut melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan di setiap peringkat di LTAT dan Mindef ketika itu serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT.
Justeru, PAC berpandangan keputusan Mindef pada masa ini untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan di bawah pengurusan LTAT terdahulu telah membantutkan perjalanan transformasi LTAT yang perlu dilaksanakan dengan segera, secara menyeluruh dan tuntas.
Selain itu, katanya, berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan sendiri semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan untuk merangka semula pelan penstrukturan semula Boustead Holdings dibuat setelah hanya mendapat pandangan daripada pengurusan Boustead Holdings, dan bukan daripada pengurusan LTAT.
Jelas beliau, LTAT sebagai pemilik 100% Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya.
“Struktur syarikat Boustead Holdings sebagai syarikat pengantara antara LTAT dengan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak semula dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang telah berlaku di bawah pengawasan syarikat ini.
“Penstrukturan semula Boustead Holdings bagi membolehkan LTAT menjadi pemilik terus anak-anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai industri bukan perkara baru. Penstrukturan yang sama sudah dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini ke atas syarikat Sime Darby Berhad (SDB), yang menghasilkan pemilikan terus PNB ke atas anak-anak syarikat SDB yang terlibat dalam sektor perladangan, hartanah dan industry,” jelas Mas Ermieyati.
Pada masa sama, PAC turut memandang serius penjualan tanah seluas 342.87 hektar milik Boustead Holdings kepada EcoWorld di koridor Semenyih dengan nilai RM742.4 juta daripada Boustead Holdings.
Sebelum itu, media turut melaporkan bahawa tanah milik Boustead Holdings seluas 485.6 hektar dengan anggaran nilai RM400 juta turut dalam proses penjualan.
Penjualan-penjualan ini memberikan persepsi bahawa wang hasil jualan berkenaan digunakan untuk membayar dividen kepada pencarum LTAT, tambah beliau.
Sehubungan itu, sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan LTAT seharusnya membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar (realised gain) dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada tahun 2021 dan 2022.
LTAT juga seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum dan Mindef dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan Hala Tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024.
“PAC meminta supaya Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan pengauditan terperinci terhadap Boustead daripada segi kewangan dan tata kelola Boustead pada tahun hadapan selaras dengan kuasa baharu yang diberikan di bawah Akta Audit (Pindaan) 2024 [Akta A1720] dan memberikan tempoh dua bulan kepada Mindef dan LTAT sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan jawatankuasa ini mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette