PASIR GUDANG – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membantu lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan dilanggar pemandu mabuk pada Sabtu lalu.
Amil Baitulmal Johor Bahru, Dr Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata, bantuan saraan bulanan RM500 akan diberikan kepada nenek atau datuk yang mengambil tanggungjawab menjaga mereka.
“MAINJ juga akan membantu bayaran bulanan sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami keluarga ini selagi mereka mendapat bantuan saraan bulanan.
“Selain itu, anak-anak ini juga akan diberi bantuan awal persekolahan dan keperluan bantuan hari raya,” katanya ketika ditemui semasa ziarah MAINJ di rumah nenek mereka, Ramlah Kasiran di Flat Taman Cendana di sini hari ini.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd. Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang ditunggang dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini kira-kira pukul 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Kesemua mereka ini kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, iaitu Ramlah Kasiran, 56, dan suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61, yang bekerja sebagai pemandu forklift akan mengambil tanggungjawab menjaga semua cucunya itu.
Mohd Firdaus berkata, MAINJ juga memberi bantuan awal kepada keluarga berkenaan dengan bungkusan makanan dan wang tunai RM500.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri melalui MAINJ akan membantu lima beradik itu membina masa depan mereka.
“Mereka diuji dengan kematian ibu dan ayah akibat kemalangan, ketika ini mereka tinggal bersama nenek dan datuk. MAINJ akan memberi bantuan saraan, bantuan pelajaran dan bantuan musim perayaan, Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi.- MalaysiaGazette