Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara ketika di Marriott Hotel, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan air tanpa hasil (NRW) kepada 28.8 peratus menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran itu berdasarkan kepada proses penggantian paip di seluruh negara yang kini dibuat secara berperingkat.

“Saya sebutkan tadi 34.6 peratus (pengurangan NRW) untuk Malaysia secara keseluruhan bagi tahun ini.

“Kalau kita dapat cepat laksanakan sasaran kita sehingga 2030 adalah 28.8 peratus pengurangan dengan penggantian paip.

“Penggantian paip masih berjalan tapi berperingkat mengikut kemampuan kewangan yang ada,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Water Loss Asia 2024, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Fadillah berkata, masalah NRW telah menyebabkan negara kerugian lebih RM2 bilion setahun.

Sementara itu, Fadillah berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi proses penggantian semua paip air di negara ini.

Katanya, kerajaan mahu melihat pendekatan baharu dengan mengajak sektor swasta untuk bekerjasama dalam proses bagi menyegerakan penggantian paip di seluruh negara.

“Dan sebab itu saya lihat pendekatan baru, mungkin libatkan paip public (awam) ini boleh menyegerakan dan kalau ada sektor swasta yang berminat sudah pasti ia dapat menyegerakan pengantian paip dan sebagainya.

“Tapi harus tengok kepada modul perniagaan yang boleh menarik minat mereka (sektor swasta),” ujarnya.

Jelas Fadillah, kerajaan perlu segera bertindak untuk mengurangkan kehilangan NRW dalam usaha membendung masalah kekurangan air ekoran perubahan cuaca dunia.

Tambahnya, tindakan itu perlu kerana sudah ada negara di dunia yang kini mengalami masalah kekurangan air yang semakin meruncing.

“Jadi kita kena uruskan air kita dengan sebaik mungkin. Tetapi fokus untuk yang ini adalah lebih pada masalah kekurangan air yang sudah dirawar tapi hilang disebabkan kebocoran,” katanya.

Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) akan dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat fasa bermula di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Transformasi sektor air antara agenda utama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selari visi Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keterjaminan.

Pelan transformasi itu juga seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 6 iaitu memastikan akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here