GERIK – Mayat wanita yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Air Beruk, Kampung Padang Stang, di sini kelmarin, ditemukan jam 4 petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemukan di Sungai Rui, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dihanyutkan arus.
Katanya, mangsa dijumpai tersangkut pada dahan pokok di dalam air berhampiran tebing sungai hampir 50 jam selepas dilaporkan hilang.
“Operasi yang memasuki hari ketiga itu ditamatkan pada pukul 5.30 petang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, usaha pencarian yang disambung pada pukul 8 pagi hari ini dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula daripada Sungai Beruk sehingga ke Dataran Loma.
Menurut Sabarodzi, kesemua anggota pasukan penyelamat termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan agensi bantuan lain dengan bot masing-masing diatur gerak membuat pencarian di semua sektor manakala dua bot lagi ditugaskan untuk membuat pencarian di sekitar Sungai Perak.
Nur Arina yang bekerja di Pulau Pinang, dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika menyertai 16 ahli keluarga yang lain berkelah dan melakukan aktiviti dalam air menggunakan pelampung di Sungai Air Beruk, Ahad lalu,
Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya, Saripah Ahmad, 48, dihanyutkan arus deras semasa menghiliri sungai menggunakan pelampung.
Bagaimanapun, ibunya berjaya diselamatkan penduduk kampung. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast