IPOH – MCA Perak meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mempertimbangkan cadangan pengurangan kadar cukai taksiran baharu sembilan peratus yang dikenakan kepada penduduk.
Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung berkata, kadar cukai berkenaan disifatkan agak tinggi jika dibandingkan dengan bandar-bandar lain seperti di Lembah Klang.
Katanya, pihaknya meminta penjelasan daripada MBI berhubung perkara itu sedangkan bandar seperti di Shah Alam mengenakan kadar cukai pada 3.25 peratus sementara lima peratus di Subang Jaya.
“Saya mengambil contoh pemilik sebuah rumah teres satu tingkat di Menglembu perlu membayar cukai sebanyak RM 444.02, dan jika di Bercham, RM341.55.
“Jika dibandingkan di kawasan lain, pemilik rumah teres dua tingkat di Subang Jaya dikenakan cukai sebanyak RM288, sementara RM327 bagi pemilik rumah jenis sama di Seremban.
“Situasi ini dapat disimpulkan pemilik rumah teres satu tingkat di Ipoh membayar cukai tahunan seperti rumah teres dua tingkat di bandar lain,” katanya pada sidang media di Pejabat MCA Perak, dekat sini, pada Selasa.
Tambah Kok Heung, pihaknya menerima 150 aduan bertulis berhubung perkara itu dengan sebahagiannya telah diserahkan kepada MBI menerusi Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bulan lalu.
Kata beliau, baki 90 aduan bertulis daripada warga Ipoh yang diterima MCA Perak akan diserahkan kepada MBI di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada petang Selasa.
“Kami menerima aduan daripada penduduk di Kampung Baru Simpang Pulai yang mana mengalami kenaikan kadar cukai taksiran daripada RM1,560 kepada RM34,800.
“Sedangkan rumah yang didiami pengadu hanyalah sebuah rumah kecil lama yang juga berhadapan masalah anai-anai,” katanya lagi.
MCA Perak minta MBI turunkan kadar cukai Kok Heung bandar penduduk sembilan peratus cukai taksiran
Justeru Kok Heung memberitahu, MCA Perak menyarankan MBI untuk melihat semula perkara berkenaan dengan mengenakan kadar cukai yang setimpal dengan keadaan kawasan dan ekonomi sebenar setempat.
Tambah beliau, PBT itu juga diminta untuk mempertimbangkan kadar cukai yang minimal agar tidak terlalu memberi kesan kepada penduduk yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.
Media sebelum ini melaporkan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keputusan sama ada mengekalkan atau menurunkan kadar cukai baharu yang dikenakan MBI bergantung kepada bantahan yang dibuat oleh warga Ipoh.
Beliau berkata, kadar peratusan cukai dikenakan di Ipoh yang dianggap tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu 16.5 peratus telah diturunkan kepada sembilan peratus bagi kategori bangunan kediaman dan perniagaan.
Maklum balas secara bertulis berhubung isu berkenaan boleh dibuat secara dalam talian ke emel [email protected] atau secara fizikal di Jabatan Penilaian dan Hartanah sebelum 22 November ini. – MalaysiaGazette