Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa di Sungai Pengkalan, Alor Gajah, Melaka semalam. - Foto Ihsan JBPM Melaka

ALOR GAJAH – Lelaki warga emas, Mokthar Othman, 61 yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini petang semalam disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, punca kematian itu diperoleh selepas proses bedah siasat terhadap pengurus kilang itu petang semalam.

“Keputusan bedah siasat yang dijalankan selama tiga jam di Hospital Alor Gajah menunjukkan punca kematian adalah akibat serangan jantung mengakibatkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mokthar Othman

Semalam MalaysiaGazette melaporkan lelaki berkenaan ditemukan lemas di sungai terbabit oleh orang awam dan pasukan bomba pada pukul 2.25 petang dipercayai tergelincir ketika berada di tebing sungai.

Ahad lalu, warga emas itu dilaporkan hilang selepas keluar seorang diri untuk membeli makanan kira-kira pukul 1.50 pagi dan tidak dapat dihubungi sehingga pukul 5 pagi.

Mangsa sebelum itu turut memberitahu isterinya mengalami sakit perut dan mahu menggunakan tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, Sungai Pengkalan namun berkunci.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka kereta, lelaki itu kelihatan mundar-mandir di hadapan tandas dipercayai disebabkan ia berkunci kira-kira pukul 2 pagi.

Pemeriksaan bomba sebaik pintu tandas dibuka juga tidak menemukan mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast