KUALA LUMPUR – Operasi, obligasi dan kewajipan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada mana-mana pihak ketiga tidak terjejas meskipun perlembagaan agensi itu digantung berkuat kuasa pada 1 November lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tanggungjawab dan peranan NAFAS kini dilaksanakan serta diteruskan oleh Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang.
Jelas beliau, bagi urusan perniagaan NAFAS yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia juga langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS.
Selain itu, katanya, laporan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang sepanjang tempoh penggantungan perlembagaan NAFAS akan dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.
“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS di samping menambah baik tadbir urus dan tata kelola NAFAS bagi memperkasa semula NAFAS secara holistik.
“Ini untuk memastikan NAFAS beroperasi mengikut hala tuju dan spirit penubuhan NAFAS selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad (PH-Kota Raja) menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta penjelasan berkaitan kontroversi yang berlaku dalam NAFAS serta hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menstruktur semula agensi terbabit.
Berhubung hala tuju NAFAS, Mohamad menjelaskan, beberapa strategi pembaharuan dan hala tuju KPKM dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam menstruktur semula NAFAS telah digariskan bagi memastikan agensi itu dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.
Antaranya, kata beliau, dengan mentransformasi tata kelola NAFAS melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 ke arah menambah baik komposisi dan tata kelola Ahli Jemaah Pengarah.
“Selain itu, pindaan dan pemantapan Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang khususnya Perlembagaan NAFAS dan Syarikat Subsidiari ke arah mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi antara Pengurusan dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS serta menstruktur dan memperkasa peranan Ahli Lembaga Pengarah dalam Syarikat Subsidiari NAFAS akan turut dilaksanakan,” katanya.
Bermula 1 November lalu, Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung NAFAS di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Difahamkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan. – MalaysiaGazette