Monday, December 23, 2024
Home Nasional Pas cadang penjual vape dilatih ceburi teknologi hijau, perniagaan digital

Pas cadang penjual vape dilatih ceburi teknologi hijau, perniagaan digital

Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Pas mencadangkan kepada kerajaan untuk melatih penjual vape untuk menceburi sektor baharu seperti teknologi hijau atau perniagaan digital.

Titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengharamkan vape secara total wajar dilihat sebagai peluang melindungi kesihatan rakyat sambil memacu transformasi ekonomi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu menyokong penuh titah Sultan Pahang dan menghargai keprihatinan baginda terhadap kesejahteraan rakyat khususnya dalam melindungi generasi muda daripada kesan buruk vape.

“Bagi memastikan impak ekonomi terkawal, penjual vape boleh dilatih semula untuk menceburi sektor baharu seperti teknologi hijau atau perniagaan digital.

“Langkah ini bukan sahaja memberi mereka peluang baharu tetapi juga memacu sektor ekonomi yang lebih lestari,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, larangan itu boleh diiringi dengan pembangunan industri alternatif seperti terapi gantian nikotin yang lebih selamat selain membuka ruang pelaburan baharu dan mencipta pekerjaan untuk rakyat.

Selain itu pendidikan awam mesti digerakkan dengan lebih jitu bersama insentif seperti potongan cukai kesihatan kepada mereka yang meninggalkan tabiat ini.

Insentif ini katanya, bukan sahaja menggalakkan perubahan tingkah laku tetapi turut mengurangkan beban kos perubatan jangka panjang.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu, zon bebas vape di kawasan awam seperti sekolah, hospital, kedai makan dan taman rekreasi boleh diperkenalkan sebagai langkah peralihan.

Pada masa yang sama, zon ini berfungsi mendidik masyarakat tentang bahaya vape secara berterusan terutama kepada golongan remaja yang paling terkesan dengan trend berkenaan.

“Cukai tinggi terhadap vape yang masih beredar di pasaran boleh diwujudkan sementara. Dana yang dikumpul boleh disalurkan kepada sektor kesihatan dan program pencegahan ketagihan, khususnya dalam kalangan belia.

“Selain itu, industri vape juga boleh dipandu untuk menghasilkan teknologi kesihatan atau produk mesra alam. Transformasi ini menjadikan larangan vape bukan sekadar pengakhiran, tetapi titik permulaan kepada ekonomi yang lebih inovatif,” katanya.

Al-Sultan Abdullah kelmarin menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.

Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast