Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng sedang membawa keluar pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan jalan raya di kilometer (km) 294.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. foto JBPM Perak.

LAGI kes kemalangan maut berpunca dari kenderaan berat berlaku. Seperti musim pula apabila kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, treler dan lori kecil kerap berlaku dan semakin meningkat seperti yang dilaporkan di media ataupun masyarakat yang berkongsi di media sosial. Apabila membaca berita berkaitan kemalangan maut ini, seperti sudah boleh diteka jalan cerita punca kemalangan tersebut berlaku. Malah sudah juga boleh diduga yang akan hilang nyawa dalam kemalangan adalah pemandu kereta atau penunggang motorsikal, manakala pemandu kenderaan berat yang menjadi punca utama hanya mengalami kecederaan ringan, selamat ataupun cabut lari selepas kemalangan.

Sebagai ‘pengguna kecil’ di jalan raya, pastinya penulis berasa khuatir apabila berselisih dengan kenderaan berat yang dipandu secara laju dan melulu kerana ia ibarat ‘bom jangka’ yang boleh mendatangkan malapeteka kemalangan yang teruk sekiranya berlaku. Tambahan pula penulis sendiri mempunyai pengalaman menakutkan apabila kereta penulis pernah dihentam merah oleh sebuah lori membawa muatan gas memasak dari belakang semasa berhenti di lampu isyarat. Alasan pemandu lori tersebut ialah brek gagal berfungsi dan tidak menyedari lampu isyarat sudah bertukar merah.

Memetik jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Rakyat pada Jun lalu, sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan bagi suku pertama tahun 2024. Daripada jumlah itu, sebanyak 287 kes maut dicatatkan dengan 95 mangsa cedera parah dan 270 mangsa cedera ringan.

Apabila kerap berlaku kemalangan melibatkan kenderaan komersil atau perdagangan terutamanya lori kontena dan treler sejak kebelakangan ini, sudah timbul cakap-cakap yang kurang enak didengar dalam kalangan masyarakat. Bagi mereka, peningkatan kes kemalangan ini didakwa berpunca daripada kurangnya pemantauan daripada pihak berkuasa, wujudkan elemen rasuah dalam penguatkuasaan selain bentuk hukuman yang lemah dan lapuk menyebabkan ia tidak menimbulkan ‘kegerunan’ kepada pemilik dan pemandu kenderaan berat ini.

Tambahan pula risiko tinggi yang dimiliki oleh kenderaan berat ini apabila berlakunya kemalangan yang berpunca darinya, ia boleh mengakibatkan kepada kes kemalangan maut yang membawa kematian kepada pengguna jalan raja yang lain terlibat. Sekadar contoh, sekitar bulan September lalu berlaku satu kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah lori dan lima buah kereta di Nilai, Negeri Sembilan. Lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar lima buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarah merah.

Tragisnya, kemalangan ini mengakibatkan pemandu kereta jenis Perodua Ativa iaitu seorang wanita meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala tetapi pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Laluan di mana kemalangan maut ini terjadi adalah laluan yang biasa dan kerap penulis lalui saban hari di Nilai termasuk pada hari kejadian dan penulis sendiri sudah biasa melihat lori seperti itu dipandu laju di laluan berkenaan.

Sememangnya apa yang dikhuatiri dan ditakuti oleh pengguna jalan raya terhadap kenderaan berat di jalan raya ini ada asasnya. Ini memandangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat cenderung mengakibatkan impak lebih teruk disebabkan fizikal kenderaan bersaiz besar sekali gus memberi kesan kerosakan ketara dan kecederaan lebih serius. Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan komersial, banyak pihak terutama pemandu sendiri dan orang lain turut terlibat kerana pemandu kenderaan ini membawa kenderaan lebih besar dan lebih tinggi risiko di jalan raya.

Antara punca kemalangan yang melibatkan kenderaan berat yang dikenalpasti adalah menukar lorang dalam jarak tidak selamat; pemandu kurang atau tidak sihat; titik buta (blind spot) semasa menukar lorong atau memotong; penglihatan terhad dan jalan licin akibat hujan; dan kenderaan yang tidak diselenggara secara berkala.

Justeru itu, bagi mengelakkan lebih banyak tragedi ‘malang tidak berbau’ melibatkan kenderaan berat dan pengguna jalan raya lain, penulis cenderung melihat tindakan awal perlu bermula dari pemilik kenderaan perdagangan ini. Para pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan wajar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman memastikan tahap kesihatan pemandu berada pada tahap terbaik, kesiapsiagaan dan kemahiran dalam pemanduan kenderaan tersebut. Kompetensi pemandu dan cara pemanduan mereka sewajarnya dilaksana pemeriksaan secara berkala bagi memastikan para pemandu ‘fit’ untuk berada di jalan raya membawa kenderaan berat.

Keduanya, pengusaha dan majikan perlu tegas dalam memastikan kondisi kenderaan berat sentiasa dalam keadaan terbaik.  Di sinilah pentingnya aspek penyelenggaraan kenderaan secara berkala perlu dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan itu selamat dan layak berada di atas jalan raya.

Pada masa yang sama, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disarankan untuk terus mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Penulis merupakan Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Setiausaha Badan Kebajikan Kakitngan USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast