Tertuduh, Zainal Abidin Za'abah, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh , Melaka hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan butiran matan palsu bagi tuntutan gaji pengawal keselamatan, lima tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan butiran matan palsu bagi tuntutan gaji pengawal keselamatan lima tahun lalu.

Tertuduh, Zainal Abidin Za’abah, 55, membuat pengakuan itu selepas lima pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di Sekolah/Institusi Pendidikan di Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Zon Alor Gajah yang diketahui sebagai palsu.

Kesalahan itu dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air, Alor Gajah, Melaka antara 1 Mei hingga 15 September 2019.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan ke atas tertuduh.

Peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zahad Khan bagaimanapun merayu kadar jaminan yang rendah sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya tiada risiko melarikan diri ke luar negara ekoran ketiadaan pasport.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh turut diarah melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 13 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast