Naazron Abdul Yusof menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas pada sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja di Ibu Pejabat Daerah Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 19 NOVEMBER 2024

KAJANG – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif dalam pengedaran dadah jenis ganja bernilai RM499,974 di sekitar kawasan Kajang.

Tiga lelaki dan seorang wanita disyaki ahli sindiket ditahan dalam beberapa serbuan pada 15 November lalu, kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.

Menurutnya, polis melaksanakan serbuan sekitar pukul 11.30 pagi telah menahan seorang lelaki tempatan dan isterinya  di rumah mereka di Semenyih dan merampas ganja seberat 2.1 kilogram.

Kedua-duanya berusia 29 dan 36 tahun.

Naazron berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai penternak udang galah dikesan positif THC manakala isterinya suri rumah bebas dadah.

“Susulan tangkapan pasangan suami isteri itu, pasukan serbuan kemudian sekitar 2.45 petang satu lagi lelaki tempatan di tempat letak kereta sekitar Semenyih dan merampas 5.3 kilogram.

“Suspek berkenaan seorang penganggur bujang berusia 37 tahun dan disahkan positif THC menerusi ujian saringan air kencing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Naazron, susulan serbuan kedua dan kedua itu,  polis telah membuat tangkapan ke atas suspek keempat iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah rumah sekitar Semenyih.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah suspek keempat  berjaya membawa kepada penemuan ganja mampat seberat 28.9 kilogram dan bunga ganja seberat 7.6 kilogram.

“Polis turut merampas balutan rokok berisi campuran ganja seberat 120 gram dan rokok elektronik berisi cecair dicampuri ganja seberat tiga kilogram.

“Semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis THC dan memiliki tiga rekod kesalahan jenayah lampau,” ujarnya.

Polis juga, katanya, turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi milik pasangan suami isteri dan wang tunai RM205 daripada kesemua suspek tersebut.

Siasatan lanjut mendapati sindiket ini mengedar dadah tersebut untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek direman antara empat hingga enam hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Polis masih sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sumber bekalan itu diperoleh dan suspek-suspek yang memainkan peranan di sebalik sindiket tersebut,” tegasnya .-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here