KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 36 Jalan Klang-Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.
“Siasatan awal polis mendapati, penunggang motosikal itu terlibat kemalangan dengan sebuah kereta terlebih dahulu.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh dan memasuki laluan kenderaan MPV di sebelah kiri arah sama.
“Akibat jatuh pada jarak dekat, MPV itu tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal itu dan menggilis mangsa yang berada di bawah kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette