Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah dan kecurian kenderaan di sebuah kediaman di Taman Dato’ Chellam, Ulu Tiram, Johor semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 11 pagi hingga 5 petang semasa mangsa keluar bekerja.

“Mangsa menyedari kejadian itu selepas mendapati pagar dan pintu rumah telah diumpil manakala kawasan dalam rumah dalam keadaan berselerak.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek disyaki telah memasuki rumah dengan memanjat pagar dan mengumpil pintu utama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Raub berkata, suspek tidak dapat dikenal pasti kerana rumah tersebut tidak mempunyai kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) serta ketiadaan saksi di lokasi disebabkan jiran-jiran turut berada di luar rumah semasa kejadian.

“Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah sebuah kenderaan berwarna perak, kunci kereta, pelbagai barangan kemas serta wang tunai bernilai RM5,000 dengan nilai keseluruhan kerugian berjumlah RM50,000,” katanya.

Dalam pada itu, Raub turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan kediaman dilengkapi ciri keselamatan seperti kunci tambahan atau kamera pengawasan bagi mengelak insiden seumpama itu berlaku.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan bantuan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast