KUALA LUMPUR- Pesanan khidmat masyarakat (PSA) mengenai perlindungan keselamatan sosial akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pendekatan strategik sedemikian dilaksana bagi memacu liputan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang ketika ini berkadar 24.08 peratus atau 727,094 daripada keseluruhan 3.02 juta individu di sektor tidak formal.
“Inisiatif ini bukan sekadar usaha meningkatkan kesedaran, tetapi merupakan strategi transformasi PERKESO dalam memastikan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan mampan untuk golongan bekerja sendiri.
“Video PSA arahan sutradara Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi ini lebih bermakna kerana beliau sendiri adalah penerima manfaat SKSPS dan sedang menjalani rawatan pemulihan fisioterapi di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR), Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian video PSA SKSPS, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh.
Mengulas lanjut, Dr. Mohammed Azman menyifatkan penerapan PSA sebelum tayangan filem di panggung adalah tepat pada masanya, selari komitmen dicerminkan kerajaan yang meluluskan peruntukan tambahan RM86.2 juta dalam Belanjawan 2024.
Jelasnya, peruntukan untuk membiayai caruman padanan SKSPS sebanyak 90 peratus sehingga 31 Disember 2024 ini berupaya meringankan beban individu bekerja sendiri yang berdepan ketidaktentuan pendapatan harian.
“Peruntukan tambahan ini adalah manifestasi kepentingan perlindungan sosial, selain demi memastikan tiada jurang antara sektor formal dan tidak formal di Malaysia,” katanya. -MalaysiaGazette