Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bercakap pada sidang media selepas berakhir Majlis Penutup Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di UTM Hotel & Residences. Foto MUHAIMIN MAWAN Q9November 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor memberikan komitmen untuk tidak menaikkan harga makanan di restoran-restoran mereka sebagaimana diumumkan sebelum ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan wakil persatuan itu pada 14 Nov lepas.

“Sebaik saja mereka membuat pengumuman itu, kita mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk memanggil mereka memberikan penjelasan… Alhamdulillah mereka telah memberikan kenyataan secara terbuka bahawa mereka tidak akan menaikkan harga.

“…saya ingin ulang sekali lagi supaya berhati-hati dengan sebarang kenyataan kerana kita tidak mahu dianggap bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan susulan daripada pengumuman kerajaan untuk menaikkan gaji minimum, menaikkan gaji penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau restoran mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat dan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan dijangka melonjakkan lagi kos operasi, justeru pengusaha restoran mamak dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula dengan lima peratus, mulai tahun hadapan.

Armizan berkata, sebarang kenaikan harga perlulah melibatkan kos langsung dan tidak boleh sewenang-wenang membuat pengumuman berkenaan kenaikan harga.

Beliau menambah sekiranya terdapat kenaikan harga, kementerian itu akan memanggil pihak berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kos-kos langsung yang menyebabkan pihak itu menaikkan harga.

“Kita faham dalam kes itu (Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor) mungkin ada keperluan untuk menaikkan harga, tetapi ia mesti ada justifikasi.

“Bersandarkan kepada elemen-elemen yang telah dinyatakan dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, tidak boleh ada elemen mengambil untung berlebihan, mencatut, itu yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here