KUALA LUMPUR – Struktur kepimpinan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) perlu dirombak terutama melibatkan pelantikan Ahli Jemaah Pengarah (AJP).
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (METM), Ahmad Yazid Othman berkata lantikan AJP perlu bebas daripada agenda politik.
“MTEM menuntut agar pelantikan ini dilakukan secara telus dan berdasarkan merit, bagi memastikan individu yang terpilih benar-benar berwibawa untuk menjaga kepentingan ahli peladang, bukan sekadar boneka politik,'” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, ketirisan dalam program subsidi baja dalam pertubuhan tersebut perlu ditangani segera sebagai salah satu cara memperjuangkan hak pesawah.
Jelasnya, meskipun strategi NAFAS dalam menghasilkan baja sendiri wajar dipuji namun dalam masa yang sama pelaksanaannya perlu bebas daripada unsur ketirisan.
“Namun, kejayaan inisiatif ini bergantung kepada tatakelola yang cekap dan pengurusan yang bebas daripada pengaruh politik. Pengeluaran baja yang berkesan memerlukan pendekatan yang terancang dan pelaksanaan oleh mereka yang benar-benar kompeten serta memahami keperluan tempatan,” katanya lagi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kualiti baja subsidi serta isu kelewatan penghantaran juga perlu diselesaikan kerana mengakibatkan ramai pesawah terpaksa membeli baja dengan kadar harga komersial yang akhirnya meningkatkan kos pengeluaran.
“MTEM menyeru pihak berkaitan agar mengambil tindakan pantas dan memastikan baja yang disalurkan adalah berkualiti serta sampai tepat pada waktunya,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Yazid menggesa supaya harga minimum padi dikaji semula, supaya ia lebih mencerminkan kos pengeluaran yang sebenar kerana kos input pertanian yang meningkat seperti baja, racun perosak, dan tenaga kerja semakin membebankan pesawah.
“Sementara harga padi kekal dikawal rendah demi melindungi pengguna. Situasi ini menambah tekanan kepada pesawah yang sudah pun bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.
“Tanpa tindakan ini, banyak pesawah akan terus mengalami kerugian, yang akhirnya menjejaskan keselamatan makanan negara,” katanya lagi.
Sebagai rekod, perlembagaan NAFAS digantung bermula 1 November lepas bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan berkenaan dengan arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi serta fungsinya.
Walaubagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, operasi dan obligasi pertubuhan itu kepada mana-mana pihak ketiga tidak terjejas.
Ini termasuk urusan perniagaan melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah.-MalaysiaGazette