Agatis dan Amuak yang diselamatkan selepas mengalami kecederaan dan ditinggalkan.

AGATIS anak gajah pygmy betina dan Amuak, anak gajah pygmy jantan yang nakal dan manja tidak mengendahkan kumpulan manusia yang mengerumuni dan mengusap badan serta kepala mereka yang berbulu keras seperti dawai.

Kedua-dua anak gajah ini menjadi penghuni pusat perlindungan dan pemuliharaan Santuari Gajah Borneo (BES) di hilir Kinabatangan, Sabah selepas terpisah daripada ibu dan kawanan masing-masing.

Mereka diberi nama berdasarkan lokasi diselamatkan iaitu Agatis ditemui di Ladang Agatis, Tawau lebih 600 hari lalu manakala Amuak ditemui di Kampung Karamuak di daerah Telupit, Sandakan kira-kira 100 hari yang lalu.

Ketika diselamatkan, Agatis yang berusia kira-kira 1 tahun 2 bulan dengan ketinggian 3 kaki 7 inci didapati mengalami kecederaan selepas ditemui bersendirian dan berlari tidak keharuan di ladang berkenaan.

“Agatis mengalami kecederaan tapi kita tak dapat pasti kerana apa. Anak gajah betina ini ditinggalkan sendirian oleh kumpulannya.

“Bila dia ditinggalkan Agatis seolah-olah mengalami tekanan. Ketika diselamatkan anak gajah betina ini berlari tidak tentu arah dan mengalami luka tapi bukan disebabkan oleh serangan haiwan,” jelas pakar gajah BES, Jibius Dausip.

Agatis dan Amuak menjadi perhatian anggota media ketika melawat Santuari Gajah Borneo (BES) anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Sabah Tourism.-Foto ihsan MPOGCF

Manakala Amuak yang berusia kira-kira 1 tahun 6 bulan dengan ketinggian 4 kaki 4 inci pula mengalami kecederaan yang lebih teruk selepas diserang kumpulan anjing.

Semasa BES menemui Amuak, ekor anak gajah pygmy jantan itu berlubang-lubang begitu juga dengan kakinya terdapat kecederaan.

“Memang seolah-olah ada bekas gigitan anjing. Ada jangkitan pada kecederaan yang dialami. Dia ditinggalkan sendiri oleh kumpulannya. Kemudian kita ambil dan rawat,” kata Jibius.

Pakar gajah itu ditemui ketika lawatan media ke BES anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Sabah Tourism baru-baru ini.

Jibius Dausip.-Foto ihsan MPOGCF

Agatis dan Amuak kelihatan manja dengan Jibius yang terlibat dalam kerja pemuliharaan gajah lebih 40 tahun. Kedua-dua anak gajah pygmy ini membenarkan Jibius mengusap manja kepala mereka.

Kedua-dua mereka masih lagi minum susu segar jenama terkenal dan sesekali diberikan makan nestum bagi memenuhi keperluan diet yang mengandungi serat.

“Biasanya bila kita jumpa kes-kes seperti ini kita akan cuba usaha kembalikan anak gajah kepada kumpulannya. Matlamat utama kita adalah untuk mencantumkan anak gajah yang tidak mengalami kecederaan kepada kawanannya. Namun kalau dia mengalami kecederaan kita tidak ada pilihan kerana gajah ini perlukan rawatan,” jelasnya.

BES ketika ini memberi perlindungan kepada tujuh ekor gajah pgymy dan Agatis merupakan satu-satunya gajah betina. Seperti Agatis dan Amuak, setiap ekor haiwan pintar yang berada dalam BES mempunyai kisah masing-masing.

Tujuh ekor gajah termasuk Agatis dan Amuak kini mendapat perlindungan di Santuari Gajah Borneo (BES) selepas diselamatkan. .-Foto ihsan MPOGCF

Jibius yang berketurunan Dusun berkata, dia lebih gemar memanggil gajah pygmy sebagai gajah Borneo kerana spesis haiwan terancam itu hanya ditemui di Kepulauan Borneo dan saiz gajah itu tidak kecil seperti yang disangka dengan gajah pygmy jantan boleh membesar setinggi 9 kaki.

Malah dia sendiri pernah mengalami kecederaan setahun lalu akibat dipijak gajah pygmy dewasa ketika melakukan kerja memasang kolar pengesan.

“Kalau kita bertugas dengan gajah, risiko pun besar. Banyak pengalaman terutama cedera masa latihan dan buat tugasan. Macam inilah kaki patah, kena pijak. Tapi hakikatnya macam itulah, itu pengalaman, sebab sakitnya kita boleh rasa sampai sekarang.

“Gajah Borneo begitu istimewa kerana ini satu-satu spesis di dunia. Walaupun saya dapat kecederaan, saya masih suka dengan gajah,” kata lelaki yang berusia 61 tahun itu sambil ketawa.

Gajah pygmy kelihatan hidup selesa dan gembira dengan kemudahan yang disediakan di Santuari Gajah Borneo (BES).- Foto ihsan MPOGCF

Jelasnya, konflik antara gajah pygmy dan manusia masih berlaku kerana kehadiran haiwan itu dianggap merosakan tanaman pekebun dan mengancam nyawa. Manakala gajah pygmy pula hanya datang ke satu-satu tempat kerana mencari sumber makanan.

Gajah pygmy hanya bertukar menjadi agresif dan menyerang apabila berasa tertekan dan terancam.

“Kita banyak program buat komuniti bagi kesedaran di ladang. Kita bukan boleh halau begitu sahaja gajah-gajah ini dan mesti ada strategi,” katanya yang dipanggil semula untuk berkhidmat selepas bersara.

Menurut Jibius, gajah pygmy mempunyai ekor lebih panjang hingga menyapu lantai namun mempunyai belalai lebih pendek berbanding gajah Asia lain.

Jibius yang berasal dari Kampung Tambunan, Kota Kambunan dan mempunyai dua orang anak telah “menjinakkan” kira-kira 40 ekor gajah pygmy sepnjang 40 tahun lalu berkata, spesis yang berada di Borneo masih mengalami evolusi kerana ada kalangan gajah jantan yang tidak lagi tumbuh gading seperti kebiasaan.

Masih terdapat kira-kira 2,040 ekor gajah pygmy berada dalam hidupan liar. – Foto ihsan MPOGCFSpesisi itu kini dalam senarai haiwan terancam dengan bilangannya hanya tinggal 2,040 ekor dengan lebih 95 peratus daripadanya terdapat di negeri Sabah.

Santuari Gajah Borneo berkeluasan 1,214 hektar kini menjadi harapan untuk haiwan yang berhadapan dengan kepupusan itu mendapat perlindungan dan perubatan sekiranya cedera atau terpisah daripada kawanan sekali gus memastikan kelangsungan generasi seterusnya.

Santuari ini hasil ilham Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah ketika itu Datuk Patrick Andau pada 2007 dan selanjutnya pembinaannya dimulakan pada 2012 yang melibatkan sebuah kandang pengendalian gajah, sebuah kuarters kakitangan dan sebuah bangunan stor yang siap sepenuhnya pada 28 Jun 2013.

Melangkah jauh kehadapan, pusat perlindungan itu mendapat dana daripada MPOGFC berjumlah RM2.7 juta untuk pembinaan klinik dan kandang gajah yang baharu.

Danial Pamin menunjukkan pelan rancangan pembangunan Santuari Gajah Borneo (BES).-Foto ihsan MPOGCF

Eksekutif Pemuliharaan MPOGFC Danial Pamin berkata, projek itu dilaksanakan berikutan jangkaan jumlah gajah pygmy yang dibawa masuk untuk pemuliharaan akan bertambah dari masa ke masa.

“Mula tahun depan kapasiti kemungkinan bertambah, doktor haiwan di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah akan bertugas sepenuh masa di sini manakala pakar gajah berada di lapangan untuk memasang kolar pengesan dan melakukan pemindahan gajah pygmy.

“Untuk projek pembinaan ini akan mengambil masa selama tiga tahun. Masa akan datang kita akan cadangkan kawasan di sini untuk anak-anak gajah dan kemungkinan fasiliti akan ditambah di bahagian belakang kawasan santuari pada masa depan,” katanya.

Tambah Daniel, pihaknya juga membelanjakan RM1.2 juta lagi bagi projek survey populasi gajah pygmy dan orang utan yang akan memberikan data dalam usaha menyelamatkan spesis itu agar tidak senasib dengan badak sumatera yang telah pupus di Kepulauan Borneo.

Anggota media bergambar bersama Agatis dan Amuak sebelum meninggalkan pusat perlindungan gajah. pygmy.-Foto ihsan MPOGCF

Projek selama 10 tahun bermula 2020 itu turut melibatkan pemasangan kolar pengesan pada leher gajah pygmy, memantau pergerakan kumpulan itu, memasang perangkap kamera selain menggunakan helikopter bagi tujuan tinjauan kawasan.

Peruntukan dan sumbangan MPOGFC  membolehkan lebih banyak  “Agatis dan Amuak” diselamatkan, mengurangkan konflik manusia dan haiwan lair dengan harapan spesis gajah pygmy dapat dikeluarkan dari senarai haiwan terancam pada masa depan. – MalaysiaGazette

Ini adalah bahagian 2 daripada 3 siri artikel usaha pemuliharaan orang utan dan gajah pygmy yang dilakukan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Sabah.

Koridor Hidupan Liar Brumas capai matlamat jadi ‘lebuh raya’ gajah pygmy

Orang utan semakin bertambah di Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast