Ram
Ramlah Kasiran

PASIR GUDANG – Keluarga suami isteri maut dilanggar pemandu mabuk tidak mengetahui wujud tabung kutipan derma untuk lima anak pasangan tersebut.

Ibu mangsa, Ramlah Kasiran, 56, keluarganya tidak pernah atau memberi izin kepada mana-mana pihak menubuhkan sebarang tabung kutipan derma.

Katanya, dimaklumkan terdapat individu yang mengambil kesempatan mengutip derma atas kesusahan yang dialami keluarganya terutama anak-anak arwah.

“Saya dan suami, anak-anak kami termasuk saudara mara semua tidak pernah wujudkan sebarang tabung derma untuk cucu-cucu selepas kematian ayah dan mak mereka. Ini dilakukan pihak scammer.

“Semalam, saya dimaklumkan terdapat pihak yang membuat kutipan derma dan mendakwa duit derma RM2,000 telah diserahkan kepada makcik. Tetapi saya tidak pernah menerima wang tersebut.

“Insya-Alllah kami mengalu-alukan sumbangan untuk membantu kami membesarkan lima beradik ini. Ramai yang membantu agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, pihak sekolah dan syarikat.

“Mereka semua datang terus memberi sumbangan dan ziarah makcik di rumah, kami terima. Jangan ambil kesempatan atas cucu-cucu saya, mereka bergelar anak yatim, kasihani mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Cendana, di sini, hari ini.

Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada Pasar Raya Econsave disampaikan Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam.

Dalam kejadian pukul 4 pagi Sabtu lalu, pasangan terbabit, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini.

Mohd Ridzwan yang bekerja sebagai pemandu lori SWM manakala Linda yang bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira Mohd Redzwan, 14; Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3.

Bercerita lanjut, Ramlah mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpa anak dan menantunya.

Katanya, sudah dua hari tidak boleh melelapkan mata memikirkan masa depan cucu-cucunya.

“Alhamdulillah saya sihat, suami pula kurang sihat ada kencing manis dan darah tinggi. Suami kerja sebagai pemandu forklift dengan pendapatan tidak menentu, kadang-kadang hanya RM500 atau RM1,000 atau lebih bergantung kepada keadaan.

“Walau apa pun keadaan saya akan jaga amanah ini dengan baik. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga termasuk pihak media,” katanya.

Mereka yang mahu menyumbang boleh salurkan terus ke akaun Maybank milik Ramlah Kasiran 1512 9482 3866. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here