Logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dijanjikan pekerjaan dengan gaji RM2,000 sebulan, dua wanita warga Bangladesh nyaris menjadi mangsa eksploitasi seks sebelum berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

JIM dalam kenyataan berkata mangsa yang berusia 30 dan 34 tahun itu diselamatkan dalam satu Operasi Khas yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur pada jam 2.38 petang, semalam.

“Mangsa dipercayai dieksploitasi sejak sebulan lalu dan telah dipaksa untuk bekerja dari pagi hingga ke tengah malam dengan melayani pelanggan warganegara asing yang diuruskan oleh sindiket. 

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dikatakan tidak menerima sebarang bayaran dan hanya disediakan makan dan minum sahaja,” katanya.

Difahamkan, sindiket ini akan membawa wanita warganegara asing yang baru tiba ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.

Tambah JIM, pihaknya turut menahan empat lelaki warga Bangladesh termasuk seorang lelaki warganegara itu yang merupakan pelanggan.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0. 

Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast