Pengembara luar negara semasa membuat pemeriksaan dokumen di kaunter Jabatan Imigresen ketika Pelaksanaan 'Quick Response Team' (QRT) Mengatasi Kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 01 FEBUARI 2023. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan tidak berlaku ketiadaan pegawai di kaunter manual imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada waktu puncak sebagai langkah keselamatan di pintu masuk utama negara.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, akan ada pegawai di semua kaunter manual imigresen di KLIA bermula dari pukul 11 pagi hingga 9 malam.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan berlaku ketiadaan pegawai imigresen pada waktu puncak di pintu masuk negera di Tambak Johor, di Johor Baharu namun ian bukan kelewatan berpanjangan.

Sebaliknya, tambah Saifuddin, ia hanya sementara waktu iaitu ketika pertukaran syif kerja atau pegawai berkenaan meninggalkan kaunter untuk ke tandas atau pergi menunaikan solat.

“Kita Ingatkan kepada kepimpinan imigresen kurangkan (tinggal kaunter), bahkah peralihan syif pada waktu puncak itu pun kita lakukan pengubahsuaian.

“Waktu puncak jangan ada gangguan itu ‘bottom line’ kita. Jadi, langkah yang kita ambil bahawa penggunaan ‘infrared’ teknologi yang akan kesan pergerakan berapa cepat kita boleh lakukan clearance sebab kita ikat ia mesti kurang 25 minit.

“Tapi, berlaku tak insiden lama, berlaku, dalam sebulan lima hingga enam hari akan berlaku ketibaan pesawat wide body, penumpang ramai selang dua minit pendaratan, yang itu makan masa 49 hingga 50 minit,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang ingin tahu mengenai kejadian apabila ada kaunter manual imigrsen yang didapati tiada pegawai khususnya pada waktu puncak.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sistem autogate di pintu masuk negara tidak dikompromi dengan sistem keselamatan walaupun pasport pelancong tidak dicop oleh imigersen.

Bagaimanapun, ia mencukupi sekadar mengambil gambar dan imbasan pelancong itu untuk disimpan sebagai rekod masuk ke negara ini.

“Satu dunia sekarang ini bergerak sistem imigresennya begitu, negara jiran kita semua sekali guna autogate,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here