Tangkap layar video insiden panas membabitkan Arif Aiman Mohd Hanapi dan Tommy Mawat Bada pada perlawanan Perak FC-JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 November lalu.

PETALING JAYA – Pemain bola sepak, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Tommy Mawat Bada masing-masing digantung tiga perlawanan kerana bertumbuk pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak FC pada 10 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata, jawatankuasa tatatertib mendapati Arif Aiman didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy Mawat Bada pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Baljit, Arif Aiman juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Sementara itu, beliau memberitahu, Jawatankuasa Tatatertib juga mendapati Tommy telah melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman pada perlawanan tersebut.

Tambah beliau, jawatankuasa tersebut membuat ketetapan bahawa Tommy digantung tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember depan.

“Tommy turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” ujarnya.

Baljit berkata, jawatankuasa itu membenarkan kedua-dua pemain terbabit mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here