KUALA LUMPUR – Ukraine telah mengambil kesempatan daripada lampu hijau Presiden Joe Biden untuk melancarkan enam Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) buatan Amerika Syarikat ke dalam wilayah Rusia pada Selasa.
Fox News melaporkan, Rusia mendakwa telah menembak jatuh lima peluru berpandu dan merosakkan peluru keenam.
Serpihan letupan mendarat di kawasan kemudahan tentera Rusia tetapi tiada kemalangan jiwa atau kerosakan akibat kebakaran kecil.
Ukraine tidak segera mengesahkan penggunaan ATACMS pada hari Selasa, tetapi pegawai telah mengumumkan serangan ke atas kemudahan tentera di wilayah Bryansk Rusia, wilayah yang sama di mana Moscow mengatakan peluru berpandu itu jatuh.
Serangan itu berlaku hanya dua hari selepas Presiden Biden meluluskan untuk Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh Amerika di bumi Rusia.
Biden memberi kebenaran kepada Ukraine untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan negara itu untuk menyerang Russia, kata seorang pegawai kanan AS.
Keputusan itu dibuat ketika tentera Korea Utara dikerahkan untuk menyokong usaha Moscow menyerang Ukraine.
Russia telah mengerahkan hampir 50,000 tentera ke Kursk, wilayah selatan Rusia di mana Kyiv melancarkan serangan balas mengejutnya pada musim panas, untuk bersiap sedia merampas kembali wilayah itu.
Ribuan tentera Korea Utara telah dikerahkan ke Kursk sebagai sebahagian daripada serangan, mencetuskan kebimbangan Biden dan penasihatnya bahawa kemasukan mereka itu boleh membawa kepada fasa baharu yang berbahaya dalam perang.
Keputusan untuk membenarkan penggunaan ATACMS di dalam Rusia telah dipertimbangkan selama berbulan lalu.
Rusia sebelum iini memberi amaran penggunaan peluru berpandu jarak jauh Amerika Syarikat oleh Ukraine akan membawa kepada tindak balas yang “sesuai dan ketara”.
Serangan sedemikian di dalam wilayah Rusia “akan mewakili penglibatan langsung AS dan satelitnya dalam permusuhan terhadap Rusia”, kata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Rusia.
Ukraine mempunyai ATACMS dengan jarak 300 kilometer (190 batu) – serta peluru berpandu Storm Shadow Perancis dan Britain dengan jarak yang sama – tetapi sekutu Barat telah menghalang Kyiv daripada membedil Rusia menggunakan senjata-senjata terebut.-Agensi