SHAH ALAM – Syarikat penerbitan filem yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diingatkan untuk mematuhi Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350].
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia untuk memastikan pelakon kanak-kanak yang bekerja di set penggambaran tidak melebihi had masa yang ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Kementerian Sumber Manusia.
“Baru-baru ini pihak KESUMA khususnya JTKSM memaklumkan ada satu set peraturan yang terpakai termasuk untuk pelakon kanak-kanak.
“Ini untuk memastikan, mereka ini kanak-kanak dan bukan dewasa, jadi ada had jam bagi mereka dibenarkan bekerja. Berdasarkan maklum balas FINAS, rupa-rupanya ramai penerbit mungkin tidak sedar tentang aspek ini.
“Saya telah meminta FINAS dan KESUMA khususnya JTKSM selaraskan beberapa perkara supaya dalam lesen bagi perfileman yang dikeluarkan oleh FINAS, aspek bagi tenaga kerja khususnya kanak-kanak juga diambil kira.
“Garis panduan sudah ada, cuma kita nak pastikan syarikat-syarikat perfileman yang mendapat lesen perfileman daripada FINAS, aspek tersebut bukan hanya ambil kira, tapi kena patuh,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FINAS dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini.
Fahmi juga berkata, MoU itu antara lain untuk memastikan para pekerja dalam industri kreatif khususnya bidang perfileman mendapat bantuan dari segi keselamatan sosial terutama bagi persediaan hari tua.
“Kita akan menggerakkan jentera di bawah FINAS untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penerbit supaya mereka mencarumkan para pekerja dengan KWSP bagi menjamin masa depan mereka,” katanya.
Katanya, ketika ini hanya enam peratus dari 70,000 pekerja dalam industri kreatif khususnya perfileman yang mencarum dengan KWSP.
“Harapan kita dengan menggerakkan FINAS terutama bagi mereka Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada kerajaan, maka lebih ramai yang akan dapat mencarum,” katanya.
Katanya lagi, syarikat-syarikat penerbit yang menghasilkan kandungan dengan RTM juga perlu memastikan pekerja-pekerja kreatif mereka mencarum dengan KWSP.
“Saya juga akan meminta FINAS berhubung dengan semua persatuan termasuk FDAM untuk meningkatkan pemahaman, dari aspek kebajikan, sudah pasti perkara ini sentiasa diperjuangkan persatuan-persatuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette