KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis diminta cermin diri kerana mempersoalkan pembangunan di Sabah masih tercorot berbanding negeri lain.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, banyak projek mega di negeri itu yang dilaksanakan Datuk Seri Najib Razak ketika pentadbirannya dibatalkan atau ditangguh oleh Pakatan Harapan (PH) dan Warisan selepas Pilihan Raya Umum 2018.
“Di zaman Najib, fokus diberi kepada Sabah dan Sarawak. Malangnya, apa yang Najib buat banyak dibatal atau ditangguh oleh PH 1.0 dan Warisan.
“Contohnya Lebuhraya Pan Borneo, loji penjanaan kuasa Sandakan 300MW, projek Trans-Sabah Gas Pipeline dan Empangan Hidro Kaiduan,” katanya di laman Facebook miliknya, di sini, hari ini.
Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.
Mengulas lanjut, Puad berkata, kadar pertumbuhan Sabah pada 2017 juga tinggi, iaitu 8.2 peratus berbanding 5.9 peratus bagi Malaysia.
“Kekecewaan MP Kota Belud kerana pembangunan Sabah tercorot amat wajar. Dia memang patut rasa geram. Tetapi, kena cermin diri sendiri,” katanya.
Kelmarin, Isnaraissah dari Parti Warisan meluahkan kekecewaanya apabila Sabah terus tercicir daripada pembangunan negara.
Menurutnya, data kerajaan menunjukkan semua daerah di Sabah berada di kedudukan tercorot berbanding kawasan lain.
Ujarnya, kelewatan pembangunan di Sabah bukan saja melibatkan agensi kerajaan negeri, tetapi juga projek dikendalikan kerajaan pusat.
“Sebagai orang Sabah saya geram. Paling rendah sehinggakan program dan projek di negeri pun masih di bawah, hanya dibelanjakan 46 peratus daripada RM6.7 bilion,” katanya di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
Saya bukan mahu gaduh, tapi mahu cari jalan penyelesaian – Isnaraissah Munirah