KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil inisiatif untuk mengumpul maklumat dan maklum balas daripada semua pihak berhubung isu caj hospital swasta dan harga insurans perubatan yang dilaporkan melambung ketika ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, inisiatif itu diambil selepas pihaknya menerima banyak aduan berkenaan kenaikan caj hospital swasta dan premium insurans perubatan yang luar biasa daripada orang ramai.
Jelasnya, isu itu merupakan perkara serius kerana kenaikan luar biasa caj hospital swasta dan premium insurans perubatan akan menyebabkan golongan M40 tidak lagi berkemampuan dan beralih kepada hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.
Keadaan itu, ujar beliau, akan menyebabkan hospital kerajaan menerima penambahan pesakit, sekali gus menafikan hak dan peluang yang sepatutnya dinikmati oleh golongan B40.
“Untuk itu, kita berharap orang ramai, ejen insurans perubatan dan pihak yang terlibat dalam sektor kesihatan dapat berkongsi maklumat serta maklum balas berkenaan isu kenaikan luar biasa caj hospital dan insurans perubatan ini.
“Sebarang maklumat atau cadangan boleh di e-mel ke [email protected] dan kami akan mengumpul aduan ini dalam tempoh kira-kira tiga bulan sebelum dibangkitkan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Tze Tzin turut mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan mengenai kenaikan luar biasa harga premium insurans perubatan yang dibenarkan atas faktor keputusan perniagaan.
Jelas beliau, disebabkan kenaikan mendadak itu juga, kebanyakan ejen insurans perubatan ketika ini berdepan tekanan kerana ramai pelanggan mereka mula menamatkan polisi insurans perubatan masing-masing disebabkan tidak lagi mampu membayarnya.
“Kita juga ingin mendapatkan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana meskipun kemeterian itu mengawal caj prosedur di hospital swasta, tetapi caj bagi peralatan kesihatan lain seperti katil dan sebagainya tidak dikawal di bawah akta, sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan mendadak caj kepada pesakit,” katanya. – MalaysiaGazette