Adnan (kiri) pada majlis peluncuran Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) yang berwajah baharu di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

BATU MAUNG – Jabatan Perikanan akan mengimbangi penurunan hasil tangkapan laut disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) khususnya di Pantai Timur dengan pengeluaran ikan dari kawasan pantai barat serta aktiviti akuakultur.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, langkah proaktif itu dibuat bagi memastikan keperluan pasaran terus dipenuhi.

“Kekurangan hasil tangkapan di kawasan pantai timur dianggarkan sekitar 10 peratus kerana ia antara bulan November hingga Mac saja dan penurunan ini tidak begitu besar kerana kita masih ada pengeluaran ikan dari pantai barat seperti di Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang akan membantu menampung keperluan.

“Selain itu, aktiviti akuakultur penternakan ikan siakap, kerapu, bawal emas, serta ikan air tawar seperti keli, talapia dan patin juga akan dipertingkatkan dalam memastikan bekalan mencukupi.

“Kita tak nafikan setiap tahun berlaku kenaikan harga di pantai timur namun kita buat pemantauan rapi termasuk akan mengagihkan bekalan dari pantai barat mengikut permintaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) yang berwajah baharu, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pengeluaran ikan marin negara secara keseluruhan kekal stabil sekitar 1.2 juta tan metrik setiap tahun walaupun berlaku monsun.

“Stok penimbal ikan juga disediakan oleh agensi berkaitan untuk menampung permintaan pasaran agar bekalan kekal stabil.

“Dari segi bantuan khususnya nelayan sampan yang terjejas akibat tidak dapat turun ke laut pula, kerajaan telah menyediakan beberapa langkah sokongan termasuk bantuan sara hidup untuk meringankan beban mereka.

“Sehubungan itu, kita nasihatkan nelayan mengutamakan keselamatan diri dan memantau ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi sebelum turun ke laut serta manfaatkan tiga bulan ini dengan membaik pulih peralatan menangkap ikan atau menjalankan aktiviti tambahan untuk memperoleh pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here