TEMERLOH – Balai Polis Kuala Krau yang pernah menyaksikan dua peristiwa berdarah pada 26 Jun 1948 dan 11 September 1949 akan dijadikan galeri atau muzium Polis Pahang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, balai polis yang terletak di pekan Kuala Krau itu ditransformasikan kepada sebuah galeri atau muzium polis selepas balai polis Kuala Krau baharu siap dalam tempoh terdekat.

“Banyak sejarah perjuangan anggota polis Pahang pada tahun 40-an dan 50-an, justeru kita akan jadikan muzium ini ‘pusat sehenti’ untuk menyimpan sejarah perjuangan pahlawan-pahlawan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meletakkan Batu Tanda Peringatan Serangan Subuh Berdarah Balai Polis Kuala Krau di Balai Polis Kuala Krau di sini hari ini.

Kali pertama balai polis ini diserang pada 26 Jun 1948, mengakibatkan isteri kepada anggota polis, Mohamad Yusof iaitu Mahani Konel, yang sarat mengandung kehilangan nyawa semasa mempertahankan balai dari diserang komunis.

Sebelum itu beliau menyembunyikan dua orang anak lelakinya di dalam selimut di rumahnya bagi mengelakkan terkena percikan api kesan daripada serangan tersebut.

Balai Polis Kuala Krau diserang hendap komunis kali kedua pada awal pagi 11 September 1949 dan kejadian tembak-menembak sama seperti yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, itu mengorbankan seorang anggota polis.

Serangan ini dikenang sebagai Peristiwa Subuh Berdarah kerana pengganas komunis menghentikan serangan tatkala azan subuh berkumandang dan ia mengakibatkan nyawa seorang anggota yang dikenali sebagai Allahyarham Hamzah terkorban pada ketika itu.

Lebih menyedihkan, anggota polis bernama Hamzah yang sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari dan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari sebelum kematiannya.

Selepas dua kejadian ini, berlaku serangan Bukit Kepong pada tahun 1950.

Yahaya berkata, selain kawasan ini, kejadian serangan komunis di Balai Polis Mengkarak dan Raub yang masih tersimpan dan tidak diketahui umum.

”Cadangan menjadikan Balai Polis Kuala Krau sebagai galeri diharap dapat dijadikan pusat sehenti untuk menyimpan gambar gambar, dokumen dan semangat juang anggota polis dahulu dalam mempertahankan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast