GEORGE TOWN – Seorang pekerja kedai ikan perhiasan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan hidup dengan hasil persundalan tiga wanita warga asing.
Tertuduh, Tan Han Xiong, 29, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki bujang itu didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan seorang wanita warga Thailand berusia 37 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Lebuh Naning, di sini, jam 8.45 malam pada 13 November lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan dua wanita yang masing-masing warga Laos berumur 26, dan Thailand, 24 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini, jam 9.15 malam pada 13 November lalu.
Bagi kesalahan dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta sebatan dan denda.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam daripada Tetuan Khairul Fatin Rahman yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja di kedai ikan perhiasan dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta perlu menyara tiga warga emas iaitu ibu, datuk serta neneknya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Disember depan.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Jenayah di di sini, menetapkan sebutan semula kes bagi dua wanita Thailand dan seorang Laos yang menawarkan aktiviti persundalan pada 19 Disember depan bagi lantikan jurubahasa. – MalaysiaGazette