Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel (kanan) bersama Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean Philippe Parain (kiri).

KUALA LUMPUR – BMW Group Malaysia mencatatkan jualan lebih 8,700 buah kereta unit BMW dan Mini untuk sembilan bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, lebih 1,600 kenderaan elektrik penuh (BEV), atau 19 peratus, terjual.

Pengarah Urusannya, Benjamin Nagel berkata, bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik, syarikat menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecasan yang dilakukan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak.

Ia termasuk lebih 100 kemudahan pengecas BMWi dan Mini di pengedar sah serta lokasi strategik lain dan kemudahan tersebut  akan terus diperluas untuk masa depan, ujarnya.

“Tahun ini, BMW Malaysia memperkenalkan beberapa model baharu seperti BMW iX2, BMW i5 M60, varian BMW 520i, dan rangkaian Mini Family baharu, yang mengukuhkan komitmen mereka terhadap pelbagai teknologi pemanduan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis ‘Brand Strategy Media Roundtable’ yang turut dihadiri Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean Philippe Parain serta Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan.

Menurut Nagel, secara global, BMW Group mencatatkan pertumbuhan luar biasa dalam segmen kenderaan elektrik penuh (BEV) dengan penjualan melebihi 300,000 kenderaan untuk tempoh antara Januari hingga September tahun ini, peningkatan sebanyak 19.1 peratus.

Sementara itu, Philippe Parain memberitahu, Malaysia berperanan sebagai sebagai hab utama untuk transformasi automotif di Asia Tenggara, sambil memastikan penerapan mobiliti mampan yang progresif melalui pembangunan infrastruktur dan ekosistem kolaboratif.

“Dengan lebih 100 tahun dalam industri automotif premium, BMW Group Malaysia kekal komited terhadap inovasi mampan dan pengalaman pemanduan mewah, selaras dengan aspirasi global syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here