KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun Facebook atas nama ‘Bunga Dahlia’ mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh, Jun lalu.
Irma Julyanti Buang, 39, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim K. Muniandy.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Disember
ini untuk sebutan kes.
Menurut pertuduhan, Irma Julyanti didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama ‘Bunga Dahlia’ dan TikTok atas nama ‘bungadahlia111’.
Wanita tersebut didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Tahanan Polis Batu Muda, di sini, pada pukul 10.28 pagi 28 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Wanita itu turut dituduh memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan penggasan Daesh di dalam telefon bimbit dan komputer riba di sebuah rumah di Felda Moakil, Labis pada 7.10 pagi, 23 Jun lalu.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucuthak mana-mana bahan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab. Manaff.
Terdahulu, peguam Azfar Asadullah Abdul Sathar, yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan berikutan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berhubung pengakuan salah anak guamnya.
“Saya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkaitan pertuduhan sebelum menasihati anak guam,” katanya yang turut memaklumkan beliau baru dilantik sebagai peguam tertuduh. – MalaysiaGazette