KUALA LUMPUR – Polis meminta bantuan orang awam untuk mencari dan menjejaki seorang wanita tempatan yang dilaporkan hilang di Shah Alam, Selangor sejak 15 November lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa, Junaida Abdul Rahim dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ke tempat kerja pada Jumaat lalu.
Katanya, polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita berusia 42 tahun itu daripada kakak kandungnya sekitar jam 12.58 pagi pada Isnin.
“Wanita yang hilang itu masih berstatus bujang dan berketinggian 150 sentimeter, dipercayai keluar meninggalkan rumah sewanya yang beralamat di No. 3-10, Residensi Jalan Terubuk Tiga 17/33C, Seksyen 17, Shah Alam dekat sini sekitar jam lebih kurang 11 pagi dengan menaiki kenderaan jenis pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipercayai untuk ke tempat kerja di Subang Jaya.
“Sejak itu, wanita berkulit kuning langsat dan bertudung itu dilaporkan tidak pulang ke rumahnya dan juga tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Mohd Iqbal turut menambah bahawa mangsa hilang merupakan seorang pemilik sebuah agensi takaful yang terletak di Subang Jaya.
Justeru katanya, Mitsubishi Triton yang dinaiki wanita hilang itu telah ditemukan semula oleh polis di tepi jalan berhampiran bangunan Neu Suite Condominium di Jalan Ampang, dekat sini pada Selasa.
“Pada masa yang sama, polis turut menerima tiga laporan polis iaitu kakak mangsa, rakan di tempat kerja serta rakan serumah wanita hilang itu.
“Selain itu, siasatan awal polis juga mendapati tidak berlaku sebarang perselisihan faham di antara mangsa dengan rakan serumah.
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan berhampiran,” tegasnya lagi.
Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan wanita hilang itu atau terlihat mangsa di mana-mana supaya diminta segera tampil melaporkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Shahrul Bakhri di 012-2630512 bagi membantu siasatan lanjut.