KLUANG – Polis menahan seorang duda kerana mencabul seorang wanita yang sedang berjalan kaki menuju pejabatnya di Jalan Gunung Lambak, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 8.57 pagi ketika mangsa, 24, menunggang motosikal seorang diri.
“Mangsa yang merupakan wanita tempatan dicabul oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan menaiki sebuah motosikal ketika berjalan kaki ke tempat kerjanya.
“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, kelihatan suspek datang dari arah belakang bertindak menyentuh punggung mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kluang (IPD) Kluang berjaya menangkap suspek di kediamannya di Taman Emas di sini semalam.
Menurut beliau, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan ujian air kencing negatif
“Suspek dipercayai duda. Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette